PAS cuba sogok AJK Umno

Saturday, 13 April 2013

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mendakwa PAS cuba menyogok wang kepada seorang ahli jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Bachok untuk mengundi parti pembangkang itu dalam pilihan raya umum ke-13.

Dr Awang yang juga ketua Umno bahagian Bachok mendakwa insiden itu berlaku baru-baru ini apabila dua ahli muslimat PAS mengunjungi rumah ahli Umno itu dan  menawarkan RM500 sebagai habuan supaya mengundi PAS.
    

"Bila dia (ahli Wanita Umno) kata saya penyokong kuat BN, rumah saya ada bendera BN, dia (muslimat PAS) kata dia tahu... mereka ingat beri RM500 boleh membeli kepercayaan dan perjuangan ahli Umno," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya BN Parlimen Pangkalan Chepa di Kota Bharu hari ini.
    

Awang Adek yang juga timbalan pengerusi BN Kelantan, berkata pihaknya mendapat laporan, jentera pilihan raya PAS sudah bergerak dari rumah ke rumah pengundi di negeri ini untuk meraih sokongan kepada parti itu.    

Beliau berkata seluruh jentera pilihan raya BN sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan taktik kotor parti pakatan pembangkang dalam meraih sokongan pengundi.
    

Dalam perkembangan lain, Awang Adek berkata tindakan drastik Majlis Daerah Tumpat menyita bangunan tambahan baharu Sekolah Pondok  Al Najmiah di Tumpat, baru-baru ini, adalah tindakan keterlaluan.
    

"Kita tahu itu adalah pembinaan bangunan pondok agama bukannya pembinaan pusat karaoke, kelab malam, kenapa harus disita ? kalau  mereka berjiwa Islam, kenapa harus disita, kalau ada apa-apa yang boleh dibincangkan, kita bincang, kalau ada apa-apa yang perlu diselaraskan, kita  boleh selaraskan tetapi tidak perlu disita," katanya.
    

Beliau melihat tindakan tersebut menunjukkan dendam PAS yang bersifat politik terhadap pengasas pondok itu, Abdullah Sa'amah yang sebelum ini adalah penyokong tegar PAS dan kini menyokong perjuangan Umno.
    

Beliau berkata, sepatutnya PAS memberi sokongan penuh kepada pembinaan bangunan baharu untuk sekolah agama yang akan memberi manfaat kepada pelajar Islam untuk mendapatkan pendidikan dalam keadaan lebih selesa.
    

Majlis Daerah Tumpat baru-baru ini menyita pembinaan bangunan tambahan setinggi lima tingkat sekolah pondok itu atas alasan ia tidak  mendapat kelulusan kerana tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.
    

Abdullah dilaporkan berkata pembinaan bangunan itu mengikut prosedur yang ditetapkan.
    

- Bernama
 

0 comments:

Post a Comment

Pro Barisan Nasional

Pro Pakatan Rakyat

Pro Barisan Nasional

Recent Posts

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP