Umno - Langkah Mat Taib Masuk PAS Silap
Tuesday, 23 April 2013
SHAH ALAM - Keputusan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyertai Pas semalam tidak menggugat misi Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri Selangor, kata Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan.
Menurutnya, kemunculan Muhammad dalam arena politik selepas lima tahun berdiam diri dan menyertai Pas tidak akan memberi sebarang kesan kepada BN.
"... sebab dia tak aktif sudah lima tahun, tiba-tiba muncul, lainlah dia masih ada pengaruh dalam lima tahun sebelum ini.
"Kalau dia tak aktif, saya tak gusar. Masa sudah terlalu singkat untuk dia mulakan langkah berkempen bagi pihak Pas.
"Rakyat nilai apa yang dibuat oleh pemimpin BN sekarang... tapi sekarang dia sudah tak ada jasa," katanya pada Sinar Harian Online hari ini.
Semalam, beliau yang turut dikenali sebagai Mat Taib merasakan sudah tiba masanya perubahan dilakukan agar pembangunan dinamik negara ini "mempunyai roh."
Katanya, beliau melihat Pas sebagai satu-satunya parti yang mampu membawa kesedaran tersebut.
“Selama saya menjadi menteri besar dan aktivis Umno, memang benar negara kita maju. Tetapi, sudah sampai masanya pengisian pembangunan ini ada rohnya.
“Saya fikir parti yang boleh isi roh itu mestilah parti yang perjuangkan Islam. Hanya Pas yang bawa kesedaran itu," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno mendakwa keputusan Mat Taib menyertai Pas satu langkah yang salah.
Katanya, Mat Taib mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang mendalam dengan kedua-dua parti Umno dan Pas, sekali gus mengetahui sejauh mana prinsip perjuangan.
"Langkah yang salah, langkah yang silap, saya tak nak bagi nasihat kepadanya.
"Saya tahu dia ikuti kedua-dua parti, siapa yang tidak berpegang pada prinsip. Umno dari dahulu sehingga sekarang masih berpegang pada prinsip yang sama... Pas yang tak ada pendirian," katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment