Muslihat DAP Promosi ‘Zairil Khir Johari’
Friday, 18 October 2013
Apakah sebenarnya masaalah yang tokong DAP (suatu gelaran orang DAP sendiri menjolokkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng) berfikir dia sedang hadapi? Kenapa begitu ghairah sangat mahu menunjukkan bahawa dia tidak memusuhi orang Melayu atau tidak senang dengan Melayu.
Kalau tidak berperasaan demikian kenapa beria-ia sangat mahu menunjukan dia bukan anti-Melayu?
Maka itu dia tidak habis-habis mendabek dada bahawa dialah orang yang membela gadis Melayu berumur 15 tahun yang dikatakan ditahan polis kerana terlibat dengan tuduhan telah mengadakan hubungan sex dengan Ketua Menteri Melaka pada 1996 dahulu.
Kononnya kerana membela gadis itu dia telah merengkok dalam penjara.
Sebenarnya dia dipenjarakan pada tahun 1997 itu bukan kerana membela gadis itu tetapi didapati cuba menimbulkan perasaan membenci dikalangan rakyat bersabit peristiwa itu di bawah Akta Hasutan.
Dia juga dijatuhi hukuman penjara di bawah Akta Cetak dan Penerbitan kerana dengan niat jahat telah menerbit dan menyebarkan berita palsu dalam sebuah risalah mengenai peristiwa itu.
Malah Mahkamah Rayuan terdiri dari Hakim Gopal Sri Ram, Siti Norma Yaakob and Denis J.F. Ong mendapati dengan menyebarkan risalah itu dia menimbulkan perasaan membenci dan menghina pentadbiran kehakiman negara ini dan dengan itu telah menambahkan hukuman dengan memenjarakannya selama 18 bulan bagi setiap satu dari kedua tuduhan terhadapnya itu.
Apa pun benarkah dia membela gadis itu dengan ikhlas atau dilakukannya kerana politik?
Dia telah menjalani hukumannya itu di Penjara Kajang pada 25 Ogos 1998 dan dibebaskan setahun kemudian apabila hukumannya diringankan.
Lim Guan Eng juga berterusan mencanang bahawa perlantikan Zairil Abdullah sebagai setiausaha politiknya dan pemilihannya ke Jawatankuasa Pusat parti itu sebagai bukti DAP bukanlah sebuah parti cauvinis Cina atau bersikap anti Melayu.
Begitu sekali ia ketandusan pemimpin Melayu hinggakan seorang Melayu celup dicanang merata sebagai bukti parti itu bukan anti Melayu.
Ini adalah kerana apabila diteliti Zairil ini yang dinamakan sebagai Zairil Khir Johari hanyalah untuk mengabui mata orang ramai kononnya setiausaha politik Guan Eng itu adalah anak kandung Khir Johari, seorang kuat Umno era Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak dahalu.
Tetapi dia sebenarnya adalah anak tiri Khir. Mengikut kehendak agama dia tidak boleh dibinkan kepada Khir Johari kerana dia diharam membinkan orang yang bukan bapa kandung sendiri.
Dia hanya boleh dibinkan Abdullah apabila memeluk Islam. Menghairankan bagaimana dia boleh mengakui Khir sebagai bapa kandungnya kiranya Khir mengahwini ibunya, Puan Sri Christine Lim ketika dia sudah pun berumur 13 tahun.
Kedua-dua ibu bapa kandungnya adalah Cina jadi agak pelik juga DAP boleh mengisytiharkannya sebagai Melayu.
Nama asalnya ialah Christopher Ross Lim dan namanya yang sepatutnya sekarang ialah Zairil bin Abdullah.
Kiranya kad pengenalannya membinkan dia kepada Khir ini juga adalah satu kesalahan di segi agama dan harus
diperbetulkan. Sesiapa yang bertegas dengan nama membinkanya kepada Khir juga menyalahi agama dan menanggung dosa.
Demikian juga Guan Eng ini sebagai Setiausaha Agung parti berterusan dilanda kontroversi akibat kekecohan mengenai pemilihan anggota Jawatankuasa Pusat parti itu.
Pemilihan pertamanya tahun lalu dilanda kekecohan mengira undi menyebabkan Pendaftar Syarikat membatalkan keputusan itu dan mengarahkan pemilihan diadakan semula.
Bagaimana pun pada pemilihan semula itu pun timbul kontroversi kerana orang sama juga dipilih walau pun kali ini pasukan bapa anak yang menguasai Parti bertahun-tahun menerima undi merosot.
Timbul juga tuduhan oleh beberapa pihak DAP sendiri bahawa pemilihan kedua itu dilakukan tanpa mengikut perlembagaan parti.
Malah ada tuduhan sehingga 851 anggota perwakilan kehilangan dan tidak hadir waktu pemilihan itu. Ini bermakna 33% daripada keseluruhan 2576 perwakilan telah tidak hadir untuk mengundi. Pada pemilihan pertama seramai 753 perwakilan telah tidak hadir.
Persoalan timbul apakah mereka itu adalah mangsa politik Lim Guan Eng?
Tuduhan terus dibuat bahawa pemilihan itu adalah tidak telus, tidak bebas dan tidak adil kerana perwakilan yang hadir pula dipengaruhi untuk membuat pemilihan yang sama dengan yang sebelumnya.
Ini bercanggah dengan laungan parti itu bahawa ia sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan saksama.
Malah ada puak menggesa Setiausaha Agung parti itu menilai diri sendiri dan meletak jawatan selepas menerima undi merosot dengan menduduki tangga kelima sahaja dalam pemilihan pada 29 Sep itu.
Rejal Arbee - Bekas Ketua Pengarang Bernama dan Bekas Ketua Pengarang Berita NST
0 comments:
Post a Comment