ADUN Klawang Patah 5 Tulang Rusuk Jatuh Dalam Longkang

Sunday 18 May 2014


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat (gambar) mengalami kecederaan dengan lima tulang rusuk kanannya patah selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Jalan Kuala Pilah, Ampangan berhampiran Taman Golf Height di Seremban petang semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.45 petang itu, Yunus, 55, dikatakan singgah sebentar ke sebuah kedai gunting rambut sebelum terjatuh kerana tidak menyedari longkang berkenaan tidak mempunyai penutup.

Pembantunya, Suhaily Mohd. Hashim, memberitahu, pemandu kenderaan Yunus dan orang ramai di kawasan itu segera membantunya dan beliau dihantar ke Hospital Pakar KPJ Seremban untuk rawatan susulan.

"Setakat ini pihak hospital mengesahkan lima tulang rusuk pada bahagian bawah sebelah kanan patah. Sehingga kini, doktor masih belum membuat keputusan sama ada beliau perlu dibedah atau tidak.

"Bagaimanapun, keadaan beliau stabil dan doktor menasihatkannya supaya banyak berehat bagi mengelakkan keadaan lebih buruk," katanya.

Yunus sebelum itu menghadiri Festival Belia Negeri Sembilan 2014 di Pantai Batu 1, Port Dickson dekat sini semalam yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawanan dan Koperasi negeri pada tahun 2008 hingga Mei tahun lalu selain ADUN Klawang sejak 2008 sehingga kini.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Jelebu pada tahun 1995 hingga 1999.

0 comments:

Post a Comment

Pro Barisan Nasional

Pro Pakatan Rakyat

Pro Barisan Nasional

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP