Kesan Tapak Kaki Makhluk Aneh Bersaiz Besar Ditemui Di Johor
Friday, 16 May 2014
JOHOR BAHRU: Sesuatu yang aneh apabila tiga pasang tapak kaki berlumpur, yang pertama kelihatan seperti tapak kaki harimau, kedua kelihatan seperti tapak kaki gajah dan yang ketiga menyerupai tapak kaki manusia tetapi dengan saiz besar ditemui.
Jejak dan kesan tapak kaki yang menjangkau hampir 1km berhampiran hutan simpan Endau Rompin membuatkan pesara Sia Chwee Khim, 64, dan suaminya Lim Teong Kheng, 66, hairan dan sangat teruja.
Mereka percaya kesan tapak kaki yang ketiga mungkin kesan tapak kaki ‘Bigfoot’ yang selama ini menjadi cerita mitos.
Pasangan itu, bersama dengan anak perempuan mereka Joanna, 30, dan sekumpulan rakan-rakan dari Singapura mengambil keputusan untuk menjejaki trek kesan tapak kaki yang ditemui sepanjang lebih dari 1km pada 10 Mei.
“Ia sangat mengejutkan. Makhluk itu telah berjalan di dalam tanah merah lembap dan kemudian ke jalan tar, meninggalkan jejak yang jelas untuk kita lihat,” kata Sia, sambil menambah kumpulan itu telah mengambil gambar banyak dan mengukur tapak kaki yang besar yang mempunyai ukuran kira-kira 48cm panjang dan 11cm lebar.
“Kami cuba untuk meniru langkah dan jangkauannya tetapi kaki kami tidak mampu disesuaikan dengan jarak langkah itu.
“Kami juga menolak kemungkinan kesan itu ditinggalkan oleh gajah kerana ia agak bujur, seperti kaki manusia, dan mempunyai empat jari kaki runcing yang menonjol,” katanya.
Kumpulan itu sedang menuju ke Endau Rompin apabila mereka menemui kesan aneh itu.
Sia menjelaskan bahawa apa yang membingungkan kumpulan itu apabila kesan tapak kaki yang dikatakan daripada ‘Bigfoot’ itu turut disertai kesan tapak kaki gajah dan harimau.
Pengarah Perhilitan Negeri Hasnan Yusop berkata sepasukan pegawai menjalankan pemeriksaan kesan tapak kaki dan membuat kesimpulan bahawa ia mungkin kesan tapak kaki gajah.
“Boleh jadi gajah yang lembab berjalan dengan mengheret kaki meninggalkan kesan dan jangkauan yang panjang,” katanya.
Mengenai bekas tapak kaki gajah dan harimau, Hasnan berkata tidak semestinya haiwan itu bergerak bersama-sama tetapi boleh jadi menggunakan laluan yang sama pada masa yang berlainan.
Kali terakhir Bigfoot menjadi tajuk berita ialah pada yang tahun 2005 apabila sekumpulan pekerja mendakwa telah melihat makhluk berbulu yang besar di Kampung Mawai, Kota Tinggi.
Para pekerja cuba untuk mengejar makhluk itu tetapi gagal.
Mereka juga dilaporkan menemui tapak kaki yang besar berukuran antara 40cm dan 50cm di dalam lumpur.
Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Sekitar Johor Vincent Chow berkata beliau menerima berita mengenai tapak kaki Bigfoot pada hari yang sama sambil menambah adalah agak mustahil perkara ini adalah gurauan kerana tapak kaki ini mempunyai jarak lebih daripada 1km.
“Boleh jadi ia kaki primat berkaki dua tegak yang belum pernah ditemui sesiapa,” kata beliau sambil menambah terdapat banyak penemuan tapak kaki haiwan seperti ini terutama oleh penduduk tempatan, tetapi pihak berkuasa sering tidak mengambilnya sebagai perkara serius.
Sumber: mStar
0 comments:
Post a Comment