PAS Pecat Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas

Wednesday 14 May 2014

SHAH ALAM: Bekas ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hu Pang Chaw menyifatkan tindakan parti itu yang menggugurkannya dari sayap parti tanpa pengetahuannya, sebagai tidak melambangkan imej sebenar sebuah parti berteraskan Islam.

Kata beliau, walaupun tidak marah dengan keputusan berkenaan, namun beliau kesal kerana pengguguran dirinya daripada jawatan ketua sayap itu tidak dibincangkan dan dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu.

Dalam nada kesal, Hu berkata beliau hanya mengetahui pengguguran jawatannnya daripada DHPP melalui media yang menghubunginya bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara berkenaan, Ahad lalu.

“Sejak 1999 sehingga hari ini, saya telah melalui empat pilihan raya umum. Jadi kalau saya buat kesilapan ataupun melakukan apa-apa yang menjejaskan imej parti, kenapa saya dipilih jadi calon di Air Hitam (2013). Dan tiba-tiba saya digugurkan daripada DHPP pusat, semua ini dilakukan tanpa pengetahuan saya.

“Kalau tak puas hati dengan apa yang saya lakukan sepanjang masa ini, dengan semangat perjuangan parti yang berlandaskan Islam, kita kena amalkan sikap muzakarah, dan juga hormat-menghormati, dan merendah diri jumpa saya atau bincang dengan AJK saya,” katanya kepada Antarapos.

Baru-baru ini Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pelantikan ketua dan ahli jawatankuasa DHPP yang baharu dengan nama Hu digugurkan sebagai Ketua DHPP.

Beberapa media melaporkan, pengguguran itu bertitik tolak daripada pandangan yang disuarakannya mengenai isu hudud dan cubaannya menyekat budaya perkauman dalam sayap berkenaan.

Jawatan Ketua DHPP kini disandang oleh timbalannya sebelum ini, N Bala Subramaniam.

Hu menegaskan yang beliau tidak pernah mempersoal kewujudan hudud dalam Islam, namun jelasnya, beliau percaya undang-undang tersebut belum sesuai untuk dikuat kuasa di Malaysia.

Menurut Hu lagi, beliau tidak berhasrat untuk berjumpa dengan mana-mana pimpinan PAS untuk memohon penjelasan kerana sudah ‘masak’ dengan sikap kepimpinan parti itu.

“Selama ini, bila ada masalah dengan DHPP Pusat atau ada cadangan dan sebagainya, bila saya mahu berjumpa pimpinan pusat, mereka ini ‘passing the ball around’. Maknanya, mereka bertolak-tolak suruh saya jumpa pemimpin itu, pemimpin ini. Inilah sikap pimpinan PAS. Kalau saya telefon pun, mereka takkan jawab. SMS pun takkan jawab,”katanya lagi.

Walaupun terdapat beberapa ahli DHPP yang meluahkan kekesalan berhubung perkara itu kepadanya, namun Hu berkata, beliau tidak akan mencampuri atau mempengaruhi mana-mana ahli sekiranya mereka ingin membawa hal itu lebih jauh.

“Ada antara mereka kata nak jumpa Presiden dan bertanya, saya takkan sekat mahupun meminta mereka berbuat sesuatu. saya serahkan kepada mereka, ikut keputusan mereka sendiri. Saya takkan campur dan mempengaruhi mereka,”katanya.

Untuk rekod, Hu memegang jawatan Ketua DHPP sejak 2010, iaitu sejak penubuhan sayap berkenaan, namun telah bersama PAS sejak 1999.

Beliau juga pernah mewakili PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di kerusi parlimen Ayer Hitam, Johor. Namun tewas kepada Datuk Dr Wee Ka Siong – Antarapos

0 comments:

Post a Comment

Pro Barisan Nasional

Pro Pakatan Rakyat

Pro Barisan Nasional

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP