HOT : UMNO PERLU AKUI PAS LEBIH HEBAT DALAM HAL-HAL SEBEGINI?

Friday, 10 February 2012


Lebih kurang dua minggu lepas, kita semua berpeluang meraikan bersama Tahun Baru Cina. Kedatangan Tahun Naga yang dinanti-nantikan masyarakat Cina turut dimeriahkan dengan pelbagai sambutan di segenap pelosok negara. Sama ada pihak menyokong kerajaan mahupun parti pembangkang semuanya menyusun program Tahun Baru Cina, tidak terkecuali NGO.

Antara yang menarik perhatian ialah apa yang disiarkan oleh akhbar Cina, Sin Chiew Jit Poh, yang turut dipetik oleh Utusan Malaysia pada 3 Februari 2012. Ia mengenai Pengerusi Pas Mersing yang mengagihkan limau mandarin di kalangan penjual daging babi di sebuah pasar di Mersing. Juga Exco kerajaan negeri Selangor yang mengagihkan angpau juga di kalangan yang sama di Selangor.

Saya membaca berita tersebut di portal Malaysiakini, yang menyiarkannya dengan tujuan membuktikan betapa pemimpin pakatan pembangkang sangat prihatin dengan adat dan budaya kaum Cina sehinggakan penjual babi di pasar pun sanggup mereka dekati.

Beberapa kenyataan Rosalan Mamat, Pengerusi Pas Mersing agak menarik perhatian saya. Antaranya beliau dipetik berkata: “Tidak ada masalah untuk Cina makan babi, hanya umat Islam yang tidak boleh makan daging babi. Kita mesti menghormati budaya Cina dan ini adalah hak mereka. Hanya UMNO dan orang MCA yang akan memutar-belitkan fakta dan mendakwa bahawa apabila Pas berkuasa, orang Cina tidak akan dibenarkan makan babi.”

Saya bersetuju dengan kenyataan baris pertama Rosalan. Daging babi hanya haram dimakan umat Islam tetapi tidak kepada bukan Islam. Surah al-Baqarah ayat 173, Allah SWT telah menjelaskan kepada kita: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu makan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (makannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa.”

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Atas dasar kefahaman ayat tersebut maka kerajaan yang ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional memilih membenarkan penjualan daging babi kepada bukan Islam di pasar yang bangunannya diasingkan, tidak bersebelahan dengan bahan halal dan jauh dari kelompok peniaga bahan makanan lain. Hal yang sama dipraktikkan di pasar raya dan kedai runcit, di mana barang tidak halal perlu diletakkan di rak berasingan dan tidak bercampur-aduk dengan yang halal.

Alhamdulillah. Persoalan yang timbul ialah, kenapa Pengerusi Pas Mersing, beragama Islam, menjejakkan kaki menghampiri penjual daging babi di pasar (kelihatan jelas di dalam gambar betapa hampirnya beliau dengan mereka)? Umumnya masyarakat Islam kita, termasuk anak-anak di sekolah kebangsaan seusia tahun empat (10 tahun) mengetahui mengenai pembahagian najis dalam Islam. Yang paling berat ialah najis mughallazah iaitu babi dan anjing. Andai tersentuh, maka perlu dilakukan proses sertu (disebut juga samak) dengan satu bahagian air tanah dan enam bahagian air mutlak.

Terlintas di fikiran saya (dan berdasarkan pembacaan juga, di kalangan ramai umat Islam yang lain) adakah Rosalan melakukan proses sertu atau samak terhadap kasut, pakaian, tangan dan lain-lain yang bersentuhan secara langsung dan tidak langsung dengan babi ketika di pasar itu? Mungkin ada yang akan berhujah menggunakan umum balwa iaitu keadaan yang tidak dapat kita elakkan, seperti memijak jalan raya yang tidak kita ketahui pernah terkena najis mughallazah. Atau memegang wang yang diberikan oleh peniaga Cina yang tidak kita ketahui dia memegang najis mughallazah sebelumnya atau tidak.

Ingin saya nyatakan umum balwa tidak boleh diguna pakai dalam kes Rosalan kerana tempat yang dikunjungi terang-terangan merupakan tempat menjual babi dan peniaganya terang-terangan memegang daging babi sebelum berurusan dengan beliau. Di sinilah silapnya pemimpin Pas tersebut.

Dalam mengejar pengaruh kaum Cina, beliau telah mengetepikan salah satu daripada qawa’id fiqhiyyah yang terpenting iaitu sad-duz-zara’i’. Sad-duz-zara’i’ bermaksud menutup ruang yang boleh membawa kepada silap dan salah faham yang lebih besar yang kadangkala boleh membawa kepada kemungkaran.

Perkara mendekati peniaga daging babi itu ialah sesuatu yang berniat baik dan menunjukkan bahawa Islam tidak mengajar umatnya meminggirkan sesiapa juga. Tetapi ia boleh membawa kepada silap faham di kalangan umat Islam lain. Kesan daripada mengunjungi mereka di pasar tersebut boleh mengakibatkan beliau sentiasa dalam keadaan bernajis mughallazah (andai beliau tidak melakukan proses sertu atau samak).

Jika beliau melakukannya sekalipun, masyarakat umum tetap beranggapan bahawa najis mughallazah telah dipandang ringan oleh pemimpin parti Islam tersebut. Sebagai manusia yang hidup di kalangan manusia lain, hablum minan-nas (hubungan dengan manusia lain) perlu diambil kira.

Atas dasar itulah, ulamak fiqh telah menggariskan di antara qa’idah fiqhiyyah yang memainkan peranan terpenting ialah al-‘adah muhakkamah. Qa’idah ini bermaksud adat, atau sesuatu yang menjadi amalan kebiasaan umum masyarakat setempat, selagi mana tidak bercanggah dengan syarak (al-Quran dan as-sunnah) adalah sumber hukum dalam Islam.

Dalam hal ini, kebiasaan masyarakat Islam kita di Malaysia ialah bahagian jualan daging babi di setiap pasar dipisahkan dan tidak berdekatan dengan bahagian halal, dan tiada umat Islam (ataupun Melayu) menghampiri atau memasuki kawasan jualan daging babi kerana keadaan najis mughallazahnya. Ini tidak bertentangan dengan nas syarak, yang terang-terangan mengharamkan umat Islam makan, membeli dan menjual daging babi (dan perkara haram yang lain) dan menetapkan keperluan proses sertu atau samak seandainya tersentuh najis mughallazah tersebut.

Umumnya masyarakat akan menghukum orang Islam yang memasuki kawasan penjualan daging babi dengan sengaja adalah salah (dari segi kebiasaan masyarakat) dan berdasarkan qa’idah fiqhiyyah yang dinyatakan di atas, ia adalah satu hukum yang sah. Saya yakin, Rosalan tidak meneliti semua aspek yang dinyatakan di atas sebelum mengunjungi penjual daging babi di pasar tersebut.

Political mileage mengatasi segala-galanya bagi beliau. Apalah salahnya sekiranya beliau mengagihkan limau mandarin kepada peniaga Cina yang menjual ikan, sayur dan lain-lain. Manakala untuk peniaga daging babi beliau wakilkan kepada rakan bukan Islam dari pakatan pembangkang sambil beliau melambaikan tangan kepada mereka dari jauh, atau mereka dijemput keluar dari kawasan menjual daging babi tersebut supaya terlaksana sad-duz-zara’i’ tadi.

Saya risau, sekiranya pakatan pembangkang (dan Pas) mendapat kuasa memerintah, mereka menyatukan penjualan daging babi di bawah satu bumbung bersebelahan daging lembu, dengan alasan bak kata Rosalan, ‘Islam tidak menghalang bukan Islam makan daging babi’. Bukannya Melayu yang jual, bukan pula Melayu yang beli, jadi apa salahnya sebelah gerai ikan kita letakkan gerai daging babi, tak begitu? Na’uzubillah. Wallahua’alam. Utusan Malaysia

http://empayar-pemuda.blogspot.com/2012/02/hot-umno-perlu-akui-pas-lebih-hebat.html

0 comments:

Post a Comment

Pro Barisan Nasional

Pro Pakatan Rakyat

Pro Barisan Nasional

Recent Posts

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP