Papagomo Masih Belum Terima Saman Anwar

Friday 5 April 2013

KUALA LUMPUR 5 April - Writ dan pernyataan tuntutan kes saman RM100 juta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pemilik laman blog, Papa Gomo yang didakwa menyiarkan perkataan dan imej berunsur fitnah, masih belum dapat diserahkan kepadanya.

Ketua Pembangkang itu menyaman Wan Muhammad Azri Wan Deris berhubung dakwaan yang mengaitkan beliau dalam video seks sejenis dengan seorang lelaki.

Peguam Mohd. Afiq Mohd. Noor yang mewakili Anwar memberitahu pemberita, Mahkamah Tinggi di sini sehubungan itu menetapkan 22 April ini bagi pengurusan kes untuk pihaknya memaklumkan status penyerahan saman tersebut.

Mohd. Afiq berkata, dalam prosiding pengurusan kes buat kali kedua saman itu, beliau hari ini memaklumkan Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong yang pihaknya akan menyerahkan writ saman itu dalam masa dua minggu sebelum tarikh pengurusan kes akan datang.

"Sekiranya gagal menyerahkannya secara peribadi, pihak kami akan berbuat demikian menerusi cara penyampaian ganti (melalui iklan di akhbar)," kata Mohd. Afiq.

Pada 21 Mac lalu, Anwar selaku plaintif memfailkan saman itu dengan mendakwa Wan Muhammad Azri, 30, secara nyata atau tersirat menyatakan individu di dalam imej-imej dalam artikel yang disiarkan dalam laman web miliknya di internet, www.papagomo.com adalah beliau (Anwar).

Plaintif dalam pernyataan tuntutan menyatakan Wan Muhammad Azri yang dinamakan sebagai defendan secara salah dan berniat jahat menyiarkan perkataan-perkataan serta siri imej berhubung video tersebut dalam laman blog tersebut secara berturut-turut dari 16 Mac hingga 20 Mac lalu.

Plaintif mendakwa, perkataan-perkataan berkenaan dimaksudkan sebagai merujuk kepadanya dan bermakna beliau seorang tidak bermoral dan tidak bermaruah, tidak layak menjadi pemimpin politik, pemimpin yang tidak bertanggungjawab serta tidak boleh dipercayai.

Utusan Malaysia Online

0 comments:

Post a Comment

Pro Barisan Nasional

Pro Pakatan Rakyat

Pro Barisan Nasional

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP