Tok Mon mahu tanding lagi di Kuala Terengganu

Wednesday 3 April 2013

KUALA TERENGGANU - Warga emas, Maimun Jusuh, 94, yang bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya umum 2008, kali ini menawarkan diri sebagai calon di kawasan pilihan raya parlimen yang sama - Kuala Terengganu.

Lebih mesra dengan panggilan Tok Mon, beliau berkata hasratnya untuk bertanding lagi ialah "atas amanah orang lama".

"Menang (atau) kalah, tok bertanding sahaja sebab mengingatkan amanah orang," katanya kepada pemberita ketika datang seorang diri dengan 'teksi sapu' untuk mengambil borang penamaan calon di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya negeri di sini.

Kedatangan beliau menarik perhatian wakil media yang berada di situ.

"Tok nak bertanding banyak kali dah, tapi dacing (Barisan Nasional) kuat belaka...nak cari pencadang dan penyokong, dua orang pun payah (sekarang)," katanya.

Tok Mon berkata beliau bertanding kerana berasa bertanggungjawab untuk membela nasib rakyat seperti golongan miskin dan warga tua.

Tok Mon tidak berhasrat menyertai mana-mana parti sekiranya ditakdir memenangi pilihan raya itu nanti.

Ditanya mengenai modal untuk bertanding, Tok Mon berkata beliau tidak risau kerana anak-anak buahnya akan membantu.

"Tok ini minta dengan orang. Untuk kempen nanti pandailah Tok buat. Anak tahu Tok bertanding tapi mereka tidak suka Tok abiskan pitih (wang)," katanya.

Mengenai lambang Bebas yang akan digunakan, katanya, SPR tidak membenarkan beliau menggunakan simbol Istana cadangannya.

"Kita tunggulah keputusan daripada SPR. Tok ada sijil dah diamanahkan pakai logo itu," katanya sambil mengeluarkan sijil perakuan 'Civics Course' bertarikh tahun 1954 daripada beg kanvas berwarna biru.

Pada PRU12 beliau menggunakan lambang kunci dan bertanding menentang bekas Timbalan Menteri Pelajaran (Allahyarham) Datuk Razali Ismail (BN) dan Timbalan Presiden Pas Mohammad Sabu.

Tok Mon hanya mendapat 685 undi dan hilang wang pertaruhan. - Bernama

www.sinarharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

Pro Barisan Nasional

Pro Pakatan Rakyat

Pro Barisan Nasional

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP