Kisah Di Sebalik 'Pusingan U' Adun Bukit Besi

Tuesday 13 May 2014

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi Roslee Daud menarik balik surat keluar daripada Umno dan kembali menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Perkara itu disahkan Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee.

Mohd Jidin, yang juga Adun Permaisuri, berkata Roslee telah menarik kembali keputusan beliau untuk keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas selepas dinasihati rakan-rakan seperjuangan beliau.

"Kenapa beliau membuat keputusan tersebut awal pagi tadi tak perlu kita sebut lagi. Tetapi, yang penting kita dalam parti perlu bersatu padu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Jidin berharap situasi politik yang berlaku di negeri itu dapat ditangani dengan baik.

Sebelum ini, Roslee mengisytiharkan bahawa beliau telah keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas selepas bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, yang juga Adun Kijal, dan Adun Ajil Ghazali Taib berbuat demikian.

Mereka bertindak demikian selepas Adun Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah malam semalam bagi menggantikan Ahmad yang meletak jawatan sebagai menteri besar.

Dengan perkembangan terbaharu itu, BN kini memegang 16 kerusi DUN termasuk satu kerusi Speaker manakala PAS (14), PKR (1) dan Bebas (2).

Bekas ketua pengarang kumpulan akhbar New Straits Times (NST), Datuk A Kadir Jasin tidak menolak kemungkinan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno di Terengganu yang keluar parti boleh bertukar fikiran jika kena pada "harganya".

Kemelut politik dalaman Umno di negeri itu tercetus selepas peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar dan kemudian diikuti dua lagi Adun.

Lebih meruncingkan, PAS mendakwa empat lagi Adun akan keluar parti sebagai tanda membantah keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Ini hanya perkembangan awal.

"Ahli politik boleh bertukar fikiran secara sukarela jika kena pada 'harganya'. Seringkali dikatakan ahli politik yang kita percayai sudah tiada lagi," kata Kadir dalam blognya kadirjasin.blogspot.com hari ini.

Kadir juga membayangkan keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya beberapa Adun lain di Terengganu mengambil langkah sama keluar parti.

"Situasi pasti buruk kepada BN (Barisan Nasional) sekiranya ada Adun Umno lain mengikut jejak Ahmad dan Ghazali," katanya.

Jangkaan Kadir tersebut semakin menjadi kenyataan apabila Adun ketiga, Roslee Daud dari Bukit Besi meninggalkan Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.

Kadir berkata, PAS boleh membentuk kerajaan baharu di Terengganu dengan mendapatkan undi tidak percaya ke atas menteri besar baharu menerusi sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Mereka (PAS) juga boleh mendesak sesi khas DUN untuk mendapatkan undi tidak percaya ke atas menteri besar memandangkan beliau tidak memiliki majoriti di dalam dewan," katanya.

Ahmad bersama dua lagi Adun Umno keluar parti beberapa jam selepas Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai menteri besar baharu semalam.

Tindakan tersebut menyebabkan komposisi DUN yang dikuasai oleh BN di Terengganu berubah dan menjadikan jumlah kerusi sama dengan Pakatan Rakyat.

http://omakkau.blogspot.com/2014/05/kisah-yang-menyebabkan-adun-bukit-besi.html

0 comments:

Post a Comment

Pro Barisan Nasional

Pro Pakatan Rakyat

Pro Barisan Nasional

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP