WAYANG TERENGGANU SUDAH TAMAT, ESOK MB BAHARU MULAKAN TUGAS
Tuesday, 13 May 2014
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dijangka memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar Terengganu secara rasmi esok.
Menurut Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Ahmad Razif (gambar)difahamkan akan memasuki pejabat Menteri Besar di Tingkat Enam, Wisma Darul Iman pada pukul 7.45 pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri itu, semalam dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said yang meletakkan jawatan.
Beliau mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini pada 9.18 malam tadi.
Ahmad Razif, 49, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir selama dua penggal sejak 2008 merupakan lulusan Sarjana Sains dalam Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia, pernah menyandang jawatan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia.
Beliau juga menjadi Ketua Penerangan Umno Terengganu pada penggal lepas.
Antara Menteri Besar Terengganu sejak 1959 ialah Mohd Daud Abdul Samad dari PAS (1959-1960), Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad dari Umno (1960-1970), Datuk Mahmood Sulaiman dari Umno (1970-1971), Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman dari Umno (1971-1974), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dari Umno (1974-1999), Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari PAS (1999-2004), Datuk Seri Idris Jusoh dari Umno (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said dari Umno (2008-12 Mei 2014).
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment