ZALIM - Pencuri telur sanggup belah perut penyu

Wednesday, 9 July 2014

Seekor penyu jenis agar dijumpai mati dengan perutnya terbelah dan berpuluh biji telur yang belum matang bertaburan di kawasan pajakan telur penyu di Pantai Kijal, dekat Kemaman, pada Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri Abdul Khalil Abdul Karim berkata kejadian itu disedari oleh pemajak telur penyu ketika membuat rondaan di pantai tersebut kira-kira pukul 11 malam.

"Kita percaya ia dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab mengendap haiwan berkenaan naik ke pantai sebelum membelah perut penyu untuk kaedah cepat mendapatkan telur tanpa mempunyai perasaan kemanusiaan," katanya ketika menghubungi Bernama di Kemaman hari ini.

Menurut Abdul Khalil, ketika itu pemajak telur penyu berkenaan telah melihat seekor penyu dalam proses bertelur di pantai dan terus menunggu dan menjaga penyu berkenaan dari jauh.

Namun setelah lebih 30 minit berlalu, pemajak itu berasa hairan kerana penyu tersebut tidak menunjukkan sebarang pergerakan serta tidak kembali ke laut lalu beliau menyiasat dan mendapati penyu berkenaan dengan nama saintifik 'Chelonia Mydas' sudahpun mati.

"Bila pemajak itu siasat lebih lanjut, beliau dapati tepi karapas (bahagian bertulang yang menutupi dan melindungi bahagian belakang) kulit penyu telah terbelah dan berpuluh-puluh biji telur yang belum matang bertaburan di atas pasir sekitar tempat kejadian," katanya.

Menurut Abdul Khalil, kejadian ini menggambarkan kerakusan manusia untuk mencuri dan sanggup membunuh haiwan yang dilindungi akta perikanan untuk mencapai matlamat mereka.

Katanya sebelum kejadian itu, penyu tersebut dipercayai susah bertelur kerana pemajak tersebut telah menjumpai 92 biji telur dalam sebuah lubang.

Lazimnya penyu agar boleh bertelur di antara 100 dan 140 biji pada setiap pendaratan dan mampu mencapai saiz lebih kurang 1.2 meter dengan berat badannya mencapai 270 kilogram.

Beliau berkata berkata kejadian tersebut telah dilaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata mengikut Akta Perikanan 1985 Kaedah-kaedah Perikanan (Penyu dan Telur-telur Penyu) 1989, mereka yang disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-dua sekali.

Beliau berkata ini merupakan kali ketiga kejadian seumpama ini berlaku di negeri Terengganu selepas tahun 2005 di Geliga Kemaman dan 2007 di Pulau Redang.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Pro Barisan Nasional

Pro Pakatan Rakyat

Pro Barisan Nasional

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP